sayang si NATRAH

Malam ni aku plih u share dgn korg ttg topik y agk serius...bkn pe, asik gelak2 je...x syok gak...ade gule, msti ade grm,kn...ade kaitan ke?xde?lantak....huhuhu....

kebetulan aku tringat ttg 2 cerita y aku slalu dgr ms aku kecik dulu2...kes memali dgn natrah....aku rs korg pn msti tau psl 2 cite ni,kn....cume aku xnk la komen pape psl kes memali...sbb byk cmpur tgn politik dlm kes ni....kes ni pn kontroversi...slh komen, takut ke lokap aku ni..huhuhu...so aku plih u share ttg natrah la kot....1 kisah y sgt menyayat hati aku....klu duk tmenung sorg2 menjelang ramadhan y dh dkt ni, mula la terasa syahdu bl tringat kisah ni...ye la, kdg2 xsemua kesusahan y kite tanggung tu akn berakhir dgn kesudahan y baik...y best..y bahagia...dlm filem jah y sokmo ade hepi ending...tp dlm realiti kehidupan ni, sush u kite jangka...kdg2 hdup sush, tp last2 seng...alhamdulillah....kdg2 seng, tp last2 sush...mtk dijauhkn...tp lg cekrempet klu dulu sush, smpi ke sudah pn sush...adeh....x terkomen la tu...bahagian msing2 la tu....waahhh...sentimental tul aku hr ni..awat ye...menghayati topik, kekdahnye noks...huhu....

k..jom kite imbas balik kisah menyayat hati seorg wanita di sebalik nama natrah....kisah titisan air mata sebuah negara melepaskan seorg gadis islam ke tangan keluarga asalny berlainan agama....memandangkn ni adalah kisah benar, sejarah penting bg negara kite, aku xberani nk cerita blik smula..takut tsilap fakta...so, aku try carik kat beb page...dpt la serba ckit...kat cni aku nk bg credit awal2 u beb page y aku amik input dr ctu...

~ http://www.kapasitor.net ~ http://www.kosmo.com.my ~ Bernama ~ natrahfatini.blogspot.com ~

:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::


1937 24 Mac :: Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942 :: Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945 :: Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

1945 :: Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

September 1949 :: Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

19 Ogos 1949 :: polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

12 April 1950 :: Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950 :: Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura

24 April 1950 :: Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura

28 April 1950 :: Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C Goho & Co.

19 Mei 1950 :: peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.

28 Julai 1950 :: Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

Sori...xsure plk btul x kedudukan gmba ni kat sini...sbb xde keterangan ttg tarikh pd gmba2 ni...
klu ada y tahu, hrp dpt btau..nnt aku btulkn balik..tx..

1 Ogos 1950 :: kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad , Siti Aisyah.

2 Disember 1950 :: Ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.

(Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid

Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian ? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 :: Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.

Datin Fatini Yaacob, Penulis Tamu UTM

12 Disember 1950 :: Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950 :: Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 :: Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.

Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 :: Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951 :: Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951 :: Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951 :: Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953 :: Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

25 Januari 1953 :: Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953 :: Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.

1954 :: Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956 :: Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956 :: Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957 :: Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.

20 Januari 1959 :: Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959 :: Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975 :: Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru danpeguam , hidup mewah.

16 Ogos 1976 :: Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.

26 Disember 1976 :: Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

1976 :: Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an


Disember 1979 :: Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983 :: Natrah bercerai dengan Tom Ballermans

1984 :: Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984 :: Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

Natrah kini (semasa artikel dikeluarkan, sebelum Natrah meninggal dunia) tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda......

1992 :: kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::

Perbicaraan kedua memisahkan Natrah
Oleh Fatini Yaacob

KALI ini saya akan menjelaskan tentang perbicaraan kedua. Perbicaraan inilah yang memutuskan hubungan Natrah dengan Che Aminah dan suaminya Mansor Adabi. Perbicaraan itu berlangsung pada 20 Disember 1950.

Sebelum perbicaraan berlangsung, orang Melayu dihangatkan oleh akhbar dan majalah Melayu tentang tipu muslihat penjajah. Orang Melayu telah diberi penerangan bahawa pihak Inggeris dan Belanda tidak menyetujui pernikahan Mansor dan Natrah. Orang Melayu di seluruh pelosok negeri diberi penerangan bahawa penjajah akan melampaui batas jika dibiarkan.

Di pihak penjajah pula, Inggeris dan Belanda bersekongkol memainkan perang saraf memburuk-burukkan Che Aminah dan Mansor sebagai perancang licik yang mahu memisahkan Natrah daripada kedua ibu bapa kandungnya setelah Che Aminah yang digelar amah atau orang gaji Adeline, melarikan Natrah dari Bandung.

Bagi mereka, pihak penjajah sengaja mencari sebab untuk mengelakkan warga mereka terlepas ke tangan anak negeri yang dijajah, maka kerana itu Che Aminah di selar sebagai seorang amah atau orang gaji kepada Adeline ibu kandung Natrah.

Bagi penjajah Inggeris dan Belanda pula, demi maruah dan imej negara penjajah, kebenaran tidak penting, sebaliknya penipuan menjadi halal. Maka kerana itu melalui akhbar-akhbar pro Inggeris dan Belanda di Singapura, Inggeris dan Belanda, mahu pun Amerika Syarikat, penipuan demi penipuan dilakukan melengkapkan konsep teori politik dominasi.

Semasa perbicaraan kedua berlangsung pada 20 Disember 1950, orang ramai melebihi 1,000 orang mengerumuni kawasan Mahkamah Tinggi Singapura. Peguam Shearn dan Kenneth Seth menjadi peguam bela Hertogh bapa Natrah, sementara Ahmad Ibrahim (Allahyarham Tan Sri Prof.) Sardon Jubir (Allahyarham Tun) dan John Eber mewakili Natrah, Mansor dan Aminah.

Semasa dipanggil sebagai saksi, Adeline mereka-reka cerita untuk mewajarkan bahawa Che Aminah melarikan Natrah. Menurut Adeline, Natrah diberikan kepada Che Aminah pada 29 Disember 1942, untuk tinggal bersama Che Aminah selama 3 hari. Apabila 3 hari Natrah tidak dipulangkan, Adeline mengayuh basikal ke rumah Che Aminah. Menurut ceritanya di tengah jalan tentera Jepun menahan dan mengurungnya. Apabila Jepun menyerah kalah, kedua-dua suami isteri itu bebas dari tahanan Jepun, mereka terpaksa kembali ke Belanda tanpa Natrah.

Versi kisah Adeline sama sekali berbeza dengan Che Aminah sebagai orang yang berpelajaran tinggi, kaya dan berkedudukan. John Eber yang menghujahkan bahawa pada tahun 1942, Adeline mencadangkan kepada Che Aminah supaya mengambil salah seorang anaknya sebagai anak angkat. Cadangan ini timbul kerana Che Aminah tidak ada anak dan dia mempunyai ramai anak.

Meyakinkan
Adeline juga meyakinkan Che Aminah bahawa dia akan menjelaskan kepada suaminya mengenai penyerahan anak itu. Adeline menyakinkan Che Aminah supaya jangan bimbang. Che Aminah bersetuju dengan memberitahu Adeline bahawa Natrah akan dibawa ke tanah jajahan dan akan dibesarkan dengan cara Islam. Adeline bersetuju kerana dia sendiri dibesarkan dalam cara hidup Islam, kerana ibunya berkahwin dengan seorang Islam.

Dalam soal balas, Che Aminah dan Adeline memberikan keterangan bercanggah. Che Aminah memberitahu sepanjang yang dia tahu Adeline tidak pernah dikurung oleh Jepun. Adeline pula menafikan bahawa ibunya orang Islam dan berkahwin dengan Raden Ismail.

Dalam kes pernikahan, Shearn menghujahkan bahawa Che Aminah tergesa-gesa mengahwinkan Natrah dan Mansor kerana bagi Shearn itu adalah satu helah untuk menimbulkan prasangka terhadap sebarang tindakan undang-undang selanjutnya.

Shearn menamatkan hujah dengan menegaskan bahawa: Pertama: dari segi undang-undang budak ini tidak pernah diserahkan menjadi anak angkat. Pada segi undang-undang tidak ada pihak yang dilantik menjadi penjaga yang dilantik oleh bapanya atau orang lain untuk budak itu.

Kedua: Budak ini tidak pernah berkahwin dengan Mansor Adabi kerana undang-undang pemastautinnya adalah undang-undang Belanda dan mengikut undang-undang itu dia tidak mempunyai kuasa untuk memasukki taraf perkahwinan yang sah.

Shearn menguatkan hujahnya dengan memberikan sebab - Biar apa sekalipun mengikut undang-undang Tanah Jajahan ini, dia tidak pernah berhenti menjadi Kristian dan oleh yang demikian dia tidak boleh berkahwin kecuali mengikut peruntukan ordinan Perkahwinan Kristian ataupun Ordinan Perkahwinan Sivil.

Shearn juga menegaskan bahawa sekalipun Natrah seorang Islam dan sebab taraf pemastautinnya di Belanda, perkahwinan itu terbatal dari segi undang-undang Islam kerana di luar dari kemampuannya. Malah walaupun dia seorang Islam, perkahwinan itu tetap terbatal walau di mana sekali pun dia bermastautin kerana keizinannya untuk berkahwin tidak diperolehi dari penjaganya.

Shearn menyimpulkan bahawa oleh kerana perkahwinan itu tidak wujud, maka untuk kebaikannya dia harus diserahkan di bawah jagaan ibu bapanya yang bersedia memeliharanya.

Membantah
John Eber membantah dengan menegaskan bahawa, Pertama: Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan saman untuk mengisytiharkan perkahwinan itu terbatal oleh sebab (a) Ordinan Penjagaan Kanak-Kanak tidak memberitahu bidang kuasa itu dan ( Tidak ada satu bahagian dalam ordinan mahkamah yang memberikan bidang kuasa mengisytiharkan perkahwinan terbatal

Kedua: Sekiranya permintaan untuk mengisytiharkan perkahwinan itu tidak sah tidak pernah terkandung di dalam saman asal maka akan timbul soal perlunya ada bidang kuasa kerana budak itu dari segi prima facienya sudahpun berkahwin dan sekalipun wujud pengisytiharan itu, perlu ada bidang kuasa, ia telah mencemarkan keseluruhan perbicaraan ini sebab permintaan pertama dengan yang satu lagi bukanlah satu pilihan.

John Eber semasa menghujahkan kesnya menegaskan bahawa perkahwinan ini telah dilangsungkan mengikut hukum Islam. Kadi yang menikahkan mereka dilantik oleh Gabenor di bawah Ordinan Islam bagi pendaftaran perkahwinan dan perceraian. Kadi yang menikahkan mereka telah memastikan Mansor dan Natrah adalah beragama Islam.

Oleh itu John Eber menyimpulkan “Perkahwinan ini adalah perkahwinan Islam yang benar-benar sah dari semua segi kerana kelayakan yang dipertikaikan di bawah undang-undang negara pemastautin pembela kedua (Natrah) tidak dipertikaikan oleh undang-undang tanah jajahan kita ini”.

Penghujahan Shearn dan John Eber beserta soal balas saksi-saksi mereka mengambil masa empat hari. Selepas selesai penggulungan hujah, pada hari keempat, Hakim Brown berjumpa Natrah dan Che Aminah di kamarnya, kemudian penghujahan dilangsungkan sehingga jam 7 petang. Hakim Brown menangguhkan selama seminggu sebelum memberikan keputusan perbicaraan.

Pada 2 Disember, Hakim Brown membacakan keputusan setebal 24 halaman dengan mengambil masa selama 45 minit. Menurutnya setelah mengkaji semula peristiwa yang membawa kepada perbicaraan Saman Asal, Hakim Brown menyifatkan perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi , seorang guru sekolah pada I Ogos sebagai satu tipu muslihat yang bertujuan untuk menimbulkan prasangka terhadap keputusan mahkamah.

Hakim Brown mengisytiharkan perkahwinan itu tidak sah, dan Natrah hendaklah dipulangkan kepada ibu bapanya Hertogh di Belanda dan bukan kepada Konsul Besar Belanda. Dalam membuat keputusan itu beliau menegaskan bahawa beliau berpuas hati bahawa Natrah tidak dipaksa atau ditipu untuk berkahwin. Beliau tidak menafikan mereka berdua sama-sama tertarik hati untuk berkahwin. Namun beliau menyifatkan “rasa tertarik hati inilah yang memungkinkan terjadi muslihat ini”

:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::


9 Julai 2009

Natrah meninggal dunia di Belanda


KUALA LUMPUR – Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda semalam.

Menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohd. Taib menerusi e-mel kepada Bernama semalam, Natrah meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun.

Natrah menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Natrah ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.
Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr. Fauziah berkata, Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.



“Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,” kata Dr. Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. – BERNAMA


:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::


Natrah tidak sempat dengar lagu 'ikan di laut asam di darat'


gambar terbaru Natrah dirakamkan april lalu


NEW YORK: Natrah teringin mendengar lagu dan memiliki cakera padat yang memuatkan lagu 'Ikan di laut asam di darat'. Hajat hatinya itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda, baru-baru ini.

Natrah menyampaikan hajat untuk mendengar dan memiliki cakera padat lagu itu kepada Hertini Ngah Hashim, 40-an, yang juga anak saudaranya ketika melawat beliau April lalu.

Hertini yang menetap di New York, singgah menziarahi Natrah ketika bercuti ke Eropah.

"Saya memaklumkan hajat Natrah untuk memiliki cakera padat itu kepada kakak yang menetap di Kuala Terengganu dan kami sama-sama berusaha untuk mendapatkan," kata Hertini yang kini bekerja di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sini, dalam nada kesal.

Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun di Indonesia pada 1942.

Menceritakan lawatannya ke Huijeberen, Hertini berkata, beliau dijemput anak Natrah, Carolein di stesen kereta api Bergen Op Zoom dan terus membawanya ke rumah Carolein, di mana Natrah menunggu kedatangannya.

Hertini bersama Natrah di rumahnya di Huijeberen, selatan belanda baru-baru ini.

"Ketibaan saya disambut dengan wajah penuh ceria oleh Natrah. Turut bersama ketika itu suami Carolein, dua cucu Natrah dan anak sulungnya, Franc.

"Natrah sangat fasih berbahasa Indonesia dan kami berbual sehingga lewat malam mengenai pelbagai perkara termasuk kehidupan zaman kanak-kanaknya dan pengalamannya dibawa balik ke Belanda," kata Hertini yang turut membawa keropok ikan kesukaan Natrah dan 12 helai baju batik 'kaftan' sebagai buah tangan.

Antara cerita dikongsi bersama Hertini ialah mengenai pengalaman Natrah hampir terkena tembakan ketika berada di atas kapal ketika berlakunya rusuhan Natrah di Singapura untuk ke Indonesia. Dalam rusuhan itu, 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera.

"Natrah kini tinggal berseorangan di pangsapurinya yang terletak berhampiran rumah Carolein.

"Natrah juga sempat membacakan surah Al-Fatihah dan menyanyi beberapa lagu Melayu Indonesia serta memaklumkan beliau sudah menandatangani surat persetujuan untuk menderma mayatnya selepas beliau meninggal dunia,

"Natrah juga menunjukkan koleksi baju kebaya miliknya dan gambar beliau semasa pulang ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu.

"Beliau juga memaklumkan bapa saya (Allahyarham Ngah Hashim Mohd Dahan) pernah ke Belanda sekitar 1956 untuk menjemputnya balik ke Malaysia tetapi pada masa itu, Natrah sudah berkahwin dan mempunyai anak yang baru berusia setahun," katanya.


:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::

:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::


Mansor 'tidak sentuh' Natrah
Ketika dikenali di seluruh dunia, Natrah @ Maria Hurberdina Bertha Hertogh baru 3 tahun berada di Tanah Melayu (1947-1950) dan berusia 13 tahun. Namun impak kehadirannya yang sekejap walaupun dengan umur yang muda itu sangat mengesankan orang Melayu. Bagi mereka, Natrah adalah Melayu dan Natrah adalah Islam. Jadi walaupun sekejap, walaupun muda atas nama Melayu atas nama Islam, Natrah mendapat kelayakan penuh untuk dicintai, dibela dan dilindungi.

Demikian juga kesannya bagi Natrah dan Mansor. Walaupun sekejap, walaupun baru berapa hari berkenalan namun cinta pandang pertama mereka kekal hingga ke akhir hayat. Mansor yang berumur 22 tahun semasa itu adalah seorang anak muda yang tulus hatinya dan sangat mentaati ibunya Che Wok.

Semasa wawancara Natrah di Amerika, saya bertanyakan bagaimana dia boleh mengenali Mansor Adabi? Jawapannya "Semasa saya diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Sosial (JKM), ibu (Che Aminah) datang bersama kawannya, dia mengatakan dia punyai seorang anak. Saya langsung tidak tanya lelaki atau perempuan, saya minta dia bawa untuk saya bermain dengannya. Selepas itu mereka datang dengan seorang lelaki yang sekali ganda umurnya daripada saya. Saya sungguh malu dan langsung terdiam, saya hanya terfikir apa yang telah saya lakukan. Selepas itu dia datang setiap hari sehinggalah saya keluar dari JKM."

Saya tanyakan juga kepadanya apakah yang menarik tentang Mansor. Natrah menjawab "Saya tidak tahu, tetapi saya sukakan dia kerana dia lemah lembut orangnya, baik hati, penyabar, berwajah manis dan penyayang .

Saya bertanya soalan yang agak nakal selepas itu. "Adakah mama fikir dia seorang yang kacak dan segak yang menyebabkan mama suka padanya? Jawapannya "Pada saya dia tidaklah handsome tetapi yang menarik perhatian saya ialah kecantikan di dalam diri Mansor Adabi sendiri. Dia tidak suka memaksa dan tidak pernah menyuruh saya melakukan sesuatu yang saya tidak suka."

"Dia sangat memahami dan sangat gentleman. Dia selalu berpegang kepada janji. Dia tidak pernah menyentuh saya apabila berkahwin kerana janjinya kepada Che Aminah kami hanya akan bersama apabila saya berumur 21 tahun. Itulah keistimewaan pada diri Mansor Adabi yang tidak pernah saya temui pada lelaki lain selepasnya. Tidak juga dari suami saya selepasnya..."

Oleh kerana demikian dalam rasa hatinya terhadap Mansor, Natrah dilanda trauma setiap kali melihat gambar Mansor atau pun menyebut namanya. Natrah pernah dipanggil ke stesen televisyen pada 24 November 1975, di Belanda untuk wawancara dalam filem dokumentari The Time Just Stood Still. Semasa ditayangkan gambar wawancara tersebut dengan Mansor Adabi di Singapura, Natrah kelihatan tunduk, menangis dan terdiam lama sehingga terpaksa Van Hillo pengantara rancangan itu, juga terdiam dan tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila saya bertanya, Natrah menjawab, ''(Saya sedih) kerana melihat Mansor secara hidup dan melihat realiti kehidupannya di Singapura dikelilingi oleh anak, isteri dan rumahnya yang besar. Saya terkenang kembali semasa saya di Singapura..."


Bunuh diri
Natrah juga membandingkan betapa susah hidupnya di Belanda, dia terpaksa bekerja keras hingga kini (pada usianya 52 tahun waktu wawancara) sedangkan di Singapura Mansor mewah dan bahagia dengan isteri baru dan anak-anaknya.

Sejak itulah Natrah dikatakan pernah cuba membunuh diri dan membunuh bekas suaminya J.G Wolkenfelt di Belanda. Tekanan cinta dan ingatan kuatnya terhadap Mansor menjadikan Natrah seakan kehilangan dirinya sendiri. Bila saya tanyakan tentang tuduhan cuba membunuh suaminya dia berkata "Saya tidak mahu komen apa-apa. Dan saya tidak mahu mengingati hal itu lagi.."

Sementara untuk Mansor pula beliau menjawab soalan saya dengan mengatakan hanya Allah sahaja yang tahu betapa pilu hati beliau apabila isterinya dibawa pergi dengan kejam, tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Sewaktu diwawancara Mansor mengatakan "Umpama langit jatuh menghempap saya ketika mahkamah memutuskan bahawa pernikahan itu terbatal di bawah undang-undang British, dan hak penjagaan Natrah dikembalikan kepada bapanya. Saya sangat sedih apabila tidak langsung dapat bertemu Natrah ketika dibawa oleh ibunya ikut pintu belakang mahkamah ketika itu. Sejak itu sehingga kini saya tidak pernah melihat Natrah lagi."

Demi membuktikan kesetiaan cintanya terhadap Natrah, beliau tidak berhenti membuat tuntutan dan rayuan ke Mahkamah Tinggi Singapura apabila Natrah dibawa lari ke Belanda. Bermula dengan begitu ramai orang yang menyokongnya di mahkamah ketika kes mereka dibicarakan pada tahun 1950, sehinggalah akhirnya tinggal beliau seorang diri sahaja berjuang mengemukakan rayuan bertahun-tahun selepas itu. Mansor hanya berhenti pada tahun 1954, apabila menerima surat pemutus palsu daripada 'Natrah'.

Kawan serumahnya Nawawi dan Abdul Aziz (kini Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bekas Pengarah Urusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan bahawa mereka menyaksikan bagaimana teruknya keadaan Mansor ketika mendapat surat pemutus palsu itu. Mansor kelihatan begitu tertekan dan sangat menderita selepas itu sehingga kawan-kawan serumahnya menasihatkannya berkahwin lain. Mansor memujuk hatinya dan berkahwin dengan bekas anak muridnya Zaitun Jahuri.

Saya dapat merasakan kepedihan dan derita yang sungguh dalam di hati Natrah melebihi Mansor. Kekuatan peribadi Mansor dan pegangan agama yang kuat menjadikan Mansor reda terhadap takdir yang menimpanya. Keredaan inilah yang mengubat hati Mansor. Sedangkan Natrah bukan sahaja tidak Islam, sewaktu saya mewawancaranya 20 tahun lalu, (saya harap dia telah berubah sebelum kematiannya) tetapi juga tidak Kristian dan tidak ada apa-apa agama lagi yang menjadi pegangannya. Ini menjadikan Natrah lebih menderita dan sengsara.

Dalam mengenang mereka berdua yang kini telah kembali kepada Allah, saya insaf sekiranya Natrah dapat berfikir sejenak, tentu dia dapat mencari dirinya yang hilang selama ini, kerana di sebalik segala peristiwa ini Allahlah yang mentakdirkan demikian. Allah wujud untuk Natrah dalam ingatannya terhadap Mansor Adabi. Allah yang wajar dicari Natrah di sebalik cintanya pada Mansor, kerana pada Allah tersembunyi ketenangan jiwa, kebahagiaan jiwa yang dicari-carinya selama ini, seperti mana yang telah berjaya dicapai oleh Mansor. Semoga Natrah diampuni Allah jua dan saya juga kerana tidak mengambil kesempatan memberitahu Natrah hal ini...

Kisah cinta Natrah dan Mansor bagaimanapun bagi saya akan menjadi cinta lara biasa, sekiranya tidak ada elemen cinta orang Melayu terhadap Natrah. Kisah pernikahan Natrah-Mansor, kisah cinta mereka yang akan dipisahkan oleh undang-undang dan penglibatan simpati rasa seluruh orang Melayu pada zaman itu menjadikan cinta mereka luar biasa.

Orang-orang Melayu umumnya, sama ada lelaki mahupun perempuan, tua atau muda, kaya atau miskin, di pekan atau di desa, bercakap tentang Natrah dan bercakap tentang kasih sayang suami isteri yang bakal terputus dek keputusan mahkamah. Kisah mereka berdua sampai ke pelosok kampung dan desa, pada zaman tanpa televisyen, tanpa internet, tanpa SMS.


Tersebar
Ketika membuat penyelidikan kisah ini, saya kagum bagaimana cepatnya berita tersebar dan begitu luasnya simpati masyarakat terhadap mereka berdua. Apakah yang menjadikan demikian hebat, demikian menusuk ke kalbu kisah pernikahan mereka berdua padahal sewaktu itu tidak ada televisyen, tidak ada internet dan tidak ada telefon secanggih hari ini?

Isu Natrah yang timbul semasa kebangkitan semangat anti penjajah ini menjadikan pengarang lebih ruang untuk mengajak seluruh orang Melayu bersatu dan memberi sokongan kepada Che Aminah dan Mansor. Akhbar dan penerbitan bercetak semasa itu seperti Utusan Melayu, Melayu Raya, Sinaran, Dawn, Majlis, Qalam dan lain-lain penerbitan masa itu membantu menyemarakkan kisah cinta mereka menjadi cinta orang Melayu terhadap agama dan terhadap perjuangan menentang penjajah.

Peranan media cetak, radio, ceramah di masjid dan tempat awam, percakapan dari mulut ke mulut yang disebarkan di segenap bandar, pekan dan desa di seluruh pelosok Tanah Melayu menjadi sebab hati orang-orang Melayu tersentuh. Generasi tua memanjangkan kisah Natrah dari tahun ke tahun dari generasi ke generasi sehingga sesiapa yang saya temui 20 tahun yang lalu, dengan bangga memberitahu kenang-kenangan "nenek mereka bercerita tentang Natrah".

Yang tambah menyemarakkan rasa kebersamaan perjuangan mereka berdua suami isteri adalah pembentukan Tabung Kes Mahkamah Natrah. Kutipan derma itu dijalankan dari rumah ke rumah hampir ke seluruh Tanah Melayu. Masyarakat Melayu didedahkan dengan kisah ini. Sesiapa yang menderma mendapat sekeping gambar pernikahan mereka berdua. Inilah sebenarnya yang menambat hati seluruh orang Melayu bersatu hati kerana mereka.

Namun peranan Karim Ghani yang memimpin akhbar Sinaran dan Dawn, bersama kawan-kawan yang lain seperti Dr.Burhanuddin Helmy, Taha Kalu menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Nadra menjadi pemangkin kepada kebangkitan semangat orang-orang Melayu. Tafsiran mereka dari semasa ke semasa terhadap isu Natrah dan undang-undang amat penting untuk difahami oleh orang-orang Melayu semasa itu.

Mereka sentiasa berbincang untuk menentukan apakah tindakan yang harus diambil terhadap kes Natrah. Masjid Sultan menjadi tempat mereka menyampaikan berita apa perkembangan kes Natrah kepada masyarakat Islam ketika itu. Latar belakang Karim yang merupakan seorang nasionalis, terpelajar, fasih berbahasa Melayu, Urdu, Inggeris dan Arab dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Dr. Ba Mau, Perdana Menteri Burma, juga pernah dipenjarakan British di Burma, menjadikan isu Natrah lebih terbela dengan tindak-tanduknya.

Bagi Karim penjajah Inggeris dan Belanda melampaui batas dalam isu Natrah. Bagi Karim, penjajah menghina Islam dan wajar ditentang. Karim dan kawan-kawannya seperti Taha Kalu mengadakan beberapa strategi seperti meminta pihak pemerintah Inggeris meletakkan Natrah di tempat lain bukan di gereja. Mereka juga meminta agar akhbar pro penjajah seperti Singapore Standard dan The Straits Times berhenti memainkan berita provokasi menggunakan Natrah kerana gereja dan tulisan-tulisan tersebut menghiris hati orang-orang Islam. Semua permintaan itu tidak dihiraukan oleh penjajah.

Akhirnya Karim menggunakan pengalaman Taha Kalu dalam hal kepolisian. Karim menulis surat terbuka ditujukan kepada semua polis-polis Melayu yang bekerja dengan penjajah melalui akhbar Sinaran dan Dawn yang diedar percuma, agar mereka tidak membuat kesilapan seperti askar-askar Gurkha yang terlalu setia kepada majikan mereka. Mesej reverse psychology itu dibaca dengan amat baik oleh polis-polis Melayu semasa itu.

Maka apabila keputusan rayuan perbicaraan pada 11 Disember 1950, tidak memihak kepada Che Aminah dan Mansor, ditambah dengan kesombongan penjajah dan disemarakkan dengan laungan semangat Karim bahawa agama Islam dihina, orang Melayu bangkit memberontak hingga mengorbankan nyawa. Hanya dengan cara ini orang-orang Melayu berasa puas hati bahawa cinta mereka terhadap agama telah dapat dibuktikan. Demikian juga bukti kasih mereka kepada saudara se-Islam dan tidak rela melihat Natrah dimurtadkan.

Sekiranya tanpa pengorbanan ini penjajah akan terus-terusan menghina dan mempermainkan Islam. Dengan tragedi ini penjajah mula membuka mata dan menghormati pegangan orang-orang Melayu terhadap Islam. Kesan hebat pengorbanan ini masih kuat sehingga ke dunia moden hari ini - tragedi Natrah tetap dirujuk sebagai tanda kekuatan pegangan orang Melayu terhadap agamanya.
Datin Fatini Yaacob :: Karyawan Tamu, UTM

:: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: :: ::


SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu Natrah di sana pada tahun 1989.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.

"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.

Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Datin Fatini Yaacob :: Karyawan Tamu, UTM



~ teater natrah ~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

2 Response to "sayang si NATRAH"

  1. Anonymous Says:
    August 2, 2010 at 7:45 PM

    xde cd ke yg teater tu ek?

  2. Anonymous Says:
    August 11, 2010 at 5:42 AM

    klu dapat tgk teater ni, mesti best kn..lagi2 remy berlakon..haha